Bagaimanapun, kehadiran peniaga asing ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai kerana sering disapa untuk memberi sumbangan selain diminta membeli produk yang dijual dan jika tiada sumbangan yang dihulur mereka meraih simpati dengan kata-kata sedih ‘untuk sumbangan ikhlas’ atau ‘bantu anak yatim.’ Bagi mendapatkan kepastian fenomena yang mendorong kebanjiran orang asing ke negara ini, wartawan Harian Metro menyamar sebagai peniaga kerepek di beberapa stesen minyak dan kedai sekitar Shah Alam selama tiga hari.
Dalam lokasi penyamaran pertama di sebuah stesen minyak jam 10.30 pagi pada hari pertama, wartawan terserempak seorang wanita warga emas di kaki lima stesen minyak bersama bungkusan plastik yang mengandungi keropok selain seorang remaja lelaki belasan tahun yang menjual kismis yang mendakwa mengutip derma membina sekolah. Hampir dua jam menyapa orang ramai yang singgah di stesen minyak berkenaan, rata-rata enggan membeli walaupun dipujuk manakala dua lagi ‘rakan niaga’ wartawan dari negara jiran sudah menjual tiga bungkus keropok kering sedangkan wartawan hanya menerima gelengan dan ‘tak apa’.
Wartawan cuba menghampiri wanita berkenaan (peniaga asing) dan memperkenalkan diri kononnya berasal dari Jerteh, Terengganu dan dihantar seorang lelaki bagi mencari duit saku untuk kegunaan membeli persiapan sekolah memandangkan sesi persekolahan yang akan bermula.
Hasil perbualan dengan wanita berusia 61 tahun yang berasal dari Golok, Selatan Thailand itu, dia mengaku sudah berniaga keropok di situ sejak lebih lima bulan lalu. Walaupun pernah beberapa kali ditegur pekerja stesen minyak berkenaan kerana ada pelanggan yang mengadu, tetapi dia nekad berniaga di situ demi mencari wang untuk membiayai kos perubatan.
Hanya ingin dikenali sebagai Mek, wanita itu berkata, dia datang ke Malaysia secara berkumpulan iaitu 11 ahli berusia antara 40-an dan 60-an. Setibanya mereka di Kuala Lumpur, ada individu yang menjemput dan membawa mereka ke Sungai Buloh.
“Sepanjang berada di sini selama 20 hari atau tiga minggu kami tinggal di rumah sewa dekat Sungai Buloh. Setiap seorang dikenakan bayaran RM20 dan selebihnya dibayar oleh pihak tertentu.
“Kami dihantar di tempat yang disediakan jam 10 pagi dan dijemput semula jam 9 atau 10 malam. Lazimnya kami dapat jual lima atau enam bungkus keropok sehari,” katanya.
Mek berkata, jika difikirkan faktor perjalanan yang jauh dan faktor usia dia tidak mahu melakukan pekerjaan seperti itu, tetapi memandangkan keadaan di negaranya, dia tabahkan hati untuk datang ke Malaysia mencari rezeki.
Menurutnya, selepas barang jualan habis, mereka pulang ke kampung halaman untuk mengambil bekalan lain dan menyerahkan semua wang hasil kepada tauke keropok di sana.
Ibu kepada tiga anak itu juga terkejut apabila wartawan memaklumkan mendapat komisen RM5 daripada 10 bungkus kerepek yang dijual berbanding dia yang hanya mendapat RM4.
Penyamaran diteruskan lagi untuk hari berikutnya, apabila wartawan menjumpai ahli lain dan juga memilih stesen minyak sebagai lokasi selain terjumpa pemandu kenderaan kumpulan penjual keropok itu yang dipercayai warga asing.
Penyamaran Harian Metro kali ini membuktikan stigma yang mengatakan sifat pemurah orang tempatan terarah kepada warga asing ada benarnya apabila sepanjang tiga hari ‘bekerja’ hanya berjaya menjual tiga bungkus kerepek berbanding warga asing yang mampu menjual lima bungkus sehari. - myMetro
Komuniti PTT Zello, Channel : Rakan COPS PDRM
0 1 9 3 5 0 8 9 8 9 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
" Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "
0 Comments