POLIS SELAMATKAN 11 WANITA WARGA ASING MANGSA PEMERDAGANGAN

Georgetown, 7 Feb - Polis Pulau Pinang menyelamatkan 11 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan oleh sebuah syarikat agensi pekerjaan dalam satu serbuan di Bandar Baru Farlim, di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata hasil maklumat awam dan risikan, polis menyerbu sebuah premis perniagaan dan menyelamatkan sembilan wanita Indonesia dan dua warga Kemboja yang dikurung dalam sebuah bilik di situ.

"Dalam serbuan pukul 6.45 petang itu, sepasukan anggota polis telah pergi ke premis berkenaan dan pada mulanya pemilik agensi pekerjaan itu enggan membuka pintu, selepas hampir dua jam baru seorang wanita Myanmar membuka pintu.

"Hasil pemeriksaan di sebuah bilik di tingkat dua premis berkenaan, polis menemui sembilan wanita Indonesia dan dua wanita Kemboja berusia 21 hingga 41 tahun dikurung dalam bilik berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan awal, empat daripada mereka yang diselamatkan itu bekerja di negeri ini sebagai pembantu rumah sejak sebulan lepas tetapi tidak dibayar gaji.

Gan berkata tujuh lagi yang baru tiba lima hari lepas di Pulau Pinang mengakui dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah di Malaysia melalui ejen tetapi apabila sampai di negara ini, hanya dibiarkan di dalam premis terbabit dan tidak dibenarkan berjumpa sesiapa.

"Siasatan awal mendapati kesemua mereka yang masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial dikurung oleh pemilik agensi pekerjaan berkenaan dan tidak diberikan makanan secara teratur. Polis turut menemui semua pasport milik wanita-wanita itu," katanya.

Katanya susulan kejadian itu, polis menahan pemilik agensi berkenaan bersama empat pekerjanya termasuk tiga wanita berumur 23 hingga 48 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata lima termasuk seorang wanita Myanmar itu kini direman sehingga 12 Feb bagi membantu siasatan menurut Akta AntiPemerdagangan Orang 2007.

- BERNAMA


Komuniti PTT Zello,  Channel : Rakan COPS PDRM
Pengerusi : 019-350-8989 - RC001|[PDRM]|SiLent_DaD
TagLine : " Teruskan Berinformasi Untuk Membenteras Jenayah "

Kongsikan Hebahan Bermanfaat Ini.
Terima Kasih. Sekian

Post a Comment